Sathianathan azam lahirkan lebih ramai jurulatih tempatan berkaliber

By Shaiful Shamsudin 6 January 2017
 Sathianathan azam lahirkan lebih ramai jurulatih tempatan berkaliber
Bekas pengendali kebangsaan dan ATM FA, B. Sathianathan, kini menyahut cabaran baru selaku Ketua Jabatan Kejurulatihan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkuatkuasa Rabu lalu. 

Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun selaku jurulatih, Sathianathan kini bersedia memainkan peranan lebih besar dengan membantu membentuk jurulatih tempatan berkualiti. 

Antara tugasan Sathianathan kini ialah mengendalikan kursus kejurulatihan C, B dan A. 

"Dengan pengalaman yang saya ada, saya nak menyumbang kepada masyarakat sebagai jurulatih yang melatih jurulatih dengan menyediakan program kepada jurulatih tempatan kita," katanya. 

Sathianathan juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat FAM mengendalikan Kursus Lesen Profesional AFC. 

Jika mendapat kelulusan AFC, ia akan memudahkan jurulatih tempatan mendapatkan kelayakan kejurulatihan tertinggi Asia itu. 

"Kalau kita mengharapkan jurulatih tempatan ke luar negara, mereka perlu mengeluarkan belanja besar. 

"Kita boleh berjimat dan memperbanyakkan lagi jurulatih yang memiliki lesen profesional." 

Antara jurulatih tempatan Liga Malaysia yang kini memiliki lesen profesional AFC ialah pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, dan jurulatih Selangor, P Maniam. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment