Sarawak tidak gentar JDT, janji pamer aksi menarik

By Ammar Hakim 28 February 2017
Sarawak tidak gentar JDT, janji pamer aksi menarik

"Kami tidak gentar. Selagi 90 minit belum berakhir, kami akan berhempas-pulas dan berhabis-habisan."

Itu ikrar David Usop dalam menanti kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Negeri malam ini.

Menurutnya, biarpun tahu pasukan yang bakal didepani ini berstatus bintang dan kuat, namun beliau sudah berpesan kepada anak-anak buahnya agar bermain seperti biasa.

"Usah gentar dan nikmati pengalaman bermain dengan pasukan hebat ini.

"Dengan semangat berpasukan yang utuh dan keserasian yang terjalin, saya rasa kami boleh bersaing," katanya ketika ditemui petang semalam.

Skuad JDT hanya tiba di Kuching pada lewat malam tadi dan menjalani latihan ringan pagi ini.

Mengulas strategi menentang anak-anak buah Benjamin Mora itu, David mengakui bahawa ia agak sukar.

"Kami perlu fokus 90 minit perlawanan kerana mereka lawan yang sukar dijangka.

"Di dalam pasukan ini, semua pemainnya boleh bermain dan kami tidak dapat menjangkakan siapa kesebelasan utamanya.

"Yang jelas, mereka tidak akan menukar benteng."

Katanya, barisan tengah dan pertahanan Sarawak harus mengawasi setiap pemain penyerang pasukan lawan itu, yang bukan sahaja pantas, malah berbisa.

"Kami perlu fokus dan cipta sebanyak mungkin peluang.

"Malah, saya berharap pemain-pemain kami dapat mengikuti corak permainan lawan.

"Kami perlu bermain dan menyaingi, bukan sekadar menyelamatkan bola," tegasnya.

Pesanan terakhir kepada pemainnya ialah agar percaya kepada diri sendiri kerana dengan sokongan tanpa berbelah-bahagi dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, pertemuan malam ini akan menjanjikan pertembungan menarik.

About Author

Ammar Hakim

Comment