Sang Badak sudah mula congak masa depan

By Ammar Hakim 12 October 2016
Sang Badak sudah mula congak masa depan

Perjuangan Sang Badak dalam saingan Liga Malaysia musim ini boleh dikatakan sudah berakhir, namun tidak bagi pemain-pemain kerana mereka kini bersaing pula bagi mengekalkan tempat dalam pasukan untuk musim depan.

Dengan hanya berbaki satu perlawanan, menang atau kalah tidak akan mengubah kedudukan pasukan berkenaan yang kini menghuni tangga kesembilan dalam Liga Perdana.

Pengendali Sabah, Johnny Dominicus, sudah mula mengorak masa depan pasukan itu dengan mengenal pasti pemain-pemain yang layak dikekalkan musim depan.

"Selepas perlawanan bertemu Kuantan FA pada 23 September lalu, kami mempunyai masa kira-kira sebulan untuk melakukan persiapan bagi perlawanan terakhir menentang UiTM FC pada 21 Oktober ini.

"Bagaimanapun, di samping kami melakukan persiapan, kami juga sudah mula untuk mengenal pasti pemain-pemain yang layak dikekalkan untuk musim depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Likas, semalam.

Johnny berkata, beliau yakin ramai di kalangan pemain, khususnya yang muda, mempunyai potensi untuk meningkat dalam masa dua atau tiga tahun akan datang.

"Jika kita tengok, rata-rata pemain yang kami ada sekarang berusia 25 tahun ke bawah, dan saya juga melihat beberapa pemain muda yang sebelum ini tidak berpeluang untuk beraksi, telah membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan persahabatan yang diadakan serta dalam sesi latihan," katanya.

Tambah beliau, tidak mustahil untuk skuad Sabah yang memiliki ramai pemain muda berpotensi akan menjadi antara pesaing dalam Liga Malaysia pada masa akan datang.

"Apa yang perlu kami lakukan ialah menambah sedikit pengalaman dalam pasukan, termasuk mengambil pemain import berkualiti serta mencari pemain import tempatan, bagi memperkuatkan beberapa posisi," katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment