Saingan masih berbaki 90 minit -- Syamim

By Staff Writer 4 April 2017
Saingan masih berbaki 90 minit -- Syamim
Pemain tengah Pahang, Syamim Yahya, tidak mahu terbuai dengan kejayaan pada Sabtu lalu, sebaliknya melabelkan aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Larkin lebih penting sebelum kejayaan sebenar dapat diraikan.

Gembira dengan kemenangan 3-1 di Stadium Darulmakmur, namun itu bukan kejayaan sebenar selagi baki 90 minit tidak disempurnakan dengan kelebihan memihak kepada Pahang.

Bagi Syamim, tidak mudah untuk dia segera berpuas hati, apatah lagi beberapa kesilapan kecil turut berlaku dalam aksi di Kuantan pada Sabtu lalu.

Sudah pasti Pahang perlu bertandang ke Stadium Larkin dalam keadaan benar-benar bersedia, sekaligus memastikan kelebihan mereka menerusi dua jaringan tidak disia-siakan.

"Berbekal dua gol adalah sesuatu yang baik tetapi kami dibolosi satu jaringan. Kami akan menjalani latihan mengikut perancangan jurulatih dan berharap dapat meraih kemenangan," katanya.

Syamim membuka jaringan buat Pahang pada minit ke-14 dan muncul sebagai satu-satunya pemain tempatan yang menyumbang jaringan buat Pahang pada Sabtu lalu.

Dua lagi penyumbang jaringan buat Pahang ialah Matheus Alves dan Chinedu Dike di mana kedua-duanya merupakan pemain import manakala pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Marcos Antonio, meledak gol sebagai bekalan satu gol di tempat lawan.

"Kami akan cuba untuk memenangi perlawanan di Larkin, ia adalah suatu tugas yang sukar tetapi pasukan Pahang memiliki keyakinan yang tinggi."

About Author

Staff Writer

Comment