Saingan empat penjuru rebut jawatan presiden FAM

By Ammar Hakim 23 January 2017
Saingan empat penjuru rebut jawatan presiden FAM

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan empat individu telah dicalonkan bagi merebut kerusi panas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru.

Penamaan calon bagi kongres FAM telah ditutup dan terdapat beberapa kejutan apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dinamakan pada saat-saat akhir untuk dicalonkan sebagai presiden bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tan Sri Aseh Che Mat dan Tan Sri Annuar Musa.

"Nama-nama yang telah menerima pencalonan untuk jawatan presiden seperti yang telah kami jangkakan, iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tan Sri Aseh Che Mat, dan Tan Sri Annuar Musa. Kami akan membuat pengesahan sama ada mereka benar-benar mahu bertanding," katanya.

Kini terpulang kepada ahli gabungan atau perwakilan untuk memilih siapa calon yang layak bagi menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan sudah pasti saingan empat penjuru adalah saingan sengit merebut jawatan tersebut.

Dalam pada itu, penganalisis sukan negara, Rizal Hashim, menyuarakan pendapatnya mengenai penyertaan Khairy yang tidak wajar untuk dipilih sebagai presiden FAM.

"Pada pendapat saya, sebagai salah seorang anggota kabinet, Khairy tidak sesuai untuk dipilih sebagai presiden FAM, kita memerlukan presiden yang mampu memberikan sepenuh masa dan komited ketika menjalankan tugas," katanya.

"Sebagai seorang presiden, beliau perlu memiliki sikap yang tegas dan mampu memberikan idea untuk mempertingkatkan mutu bola sepak negara," ujar seorang lagi penganalisis, Hasnizam Uzir, pula.

About Author

Ammar Hakim

Comment