Safiq pilihan utama muncul pemain tengah terbaik

By Amirul Azreen 22 December 2016
Safiq pilihan utama muncul pemain tengah terbaik

Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai tahun lalu, Safiq Rahim, dijangka sukar dicabar oleh calon-calon lain untuk sekali lagi diangkat sebagai pemain tengah terbaik musim ini.

Dengan dua kejuaraan -- Liga Super dan Piala FA -- bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), rentak konsisten YANG dipamerkan Safiq Rahim sepanjang musim ini menjadi intipati mengapa namanya sekali lagi akan dipetik selaku pemenang.

Biarpun ramai melihat kecemerlangan dipacu oleh tonggak import, kelibat Safiq tidak boleh diperkecilkan, apatah lagi dia berjaya menyumbang 15 gol dan sembilan bantuan jaringan musim ini.

Tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar, dilihat pencabar paling hampir buat Safiq selepas menjadi watak penting kepada kebangkitan Lang Merah dalam saingan Piala Malaysia.

Keupayaan tiga calon lain seperti Syazwan Zainon, Safawi Rasid dan R. Gopinathan juga tidak boleh diperkecilkan, namun dijangka peluang mereka terlalu tipis.

Bagi anugerah penyerang terbaik, peluang dilihat terbuka kepada semua calon tetapi kelebihan tampak sedikit condong kepada Ahmad Hazwan Bakri.

Hazwan yang bakal memulakan saingan musim depan bersama pasukan baru, JDT, turut menjadi pilihan utama pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, untuk muncul pemenang.

Kecemerlangan Hazwan banyak dilihat dalam saingan Piala Malaysia berbanding dalam Liga Super apabila dia sekadar menyumbang tiga gol.

Namun, dua calon lain, Amri Yahyah dan Zaquan Adha Abdul Radzak, tetap mampu melakar kejutan.

Apatah lagi, Amri masih mampu meninggalkan impak dalam saingan Piala Suzuki AFF 2016 pada usia 35 tahun.

Pada masa sama, penyenaraian Syafiq Ahmad dan Azinee Taib  dalam pencalonan akhir sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan kerana mampu mengetepikan beberapa pemain lain yang lebih berpengalaman.

About Author

Amirul Azreen

Comment