Safee mahu pastikan Filipina tumbang di Manila

By Amirul Azreen 20 March 2017
Safee mahu pastikan Filipina tumbang di Manila

Penyerang berpengalaman negara, Safee Sali, mempunyai misi peribadi apabila berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa, Rabu ini.

Kali terakhir Safee berdepan Filipina bersama skuad negara adalah pada 2014 dan ketika itu kegagalan menyempurnakan penalti menyaksikan perlawanan di Cebu berakhir dengan keputusan seri.

Kini, Safee bertekad untuk menebus kembali kekecewaan itu.

Pada musim 2014 ketika bersama JDT, Safee lebih kerap memanaskan bangku simpanan, namun dia kini merupakan tonggak utama PKNS FC dan senario itu sedikit-sebanyak mengembalikan keyakinannya bersama skuad negara.

"Bila saya gagal menjaringkan penalti ketika itu, saya amat kecewa. Walaupun dua tahun sudah berlalu, saya masih merasai kekecewaan itu," katanya.

Selain mahu menebus kehampaan, pemain berusia 33 tahun ini turut mahu perlawanan berdepan Filipina kali ini berakhir dengan kemenangan skuad negara.

"Berdepan Filipina, kami tidak pernah melakar kemenangan, sebaliknya hanya mampu seri. 

"Tetapi kali ini kami berharap akan mendapat keputusan yang positif. Apa yang penting, kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan di sini," katanya ketika tiba bersama skuad negara di Manila, hari ini.

About Author

Amirul Azreen

Comment