Safawi tekad kekal dalam skuad Projek Sukan SEA 2017

By Staff Writer 2 December 2016
Safawi tekad kekal dalam skuad Projek Sukan SEA 2017

Dipanggil kembali menyertai skuad B-22 kebangsaan sedikit-sebanyak mengubat duka pemain muda, Safawi Rashid, selepas digugurkan daripada skuad Harimau Malaysia bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 sebelum ini.

Safawi tidak menafikan rasa kecewa selepas namanya diketepikan oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee, daripada senarai 23 pemain bagi saingan Piala AFF bulan lalu.

Tetapi, kekecewaan itu tidak lama selepas dipanggil semula ke dalam skuad projek Sukan SEA 2017 dan kini fokusnya adalah untuk menarik perhatian jurulatih, Frank Bernhardt.

Apa yang penting, aksi persahabatan berdepan Filipina 8 Disember ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk membuktikan kembali kemampuannya.

"Rezeki datangnya daripada Allah, saya telah berikan yang terbaik tetapi tiada rezeki untuk dipanggil ke AFF.

"Tetapi Alhamdulilah saya dipanggil menyertai skuad ini, jadi saya akan buktikan saya layak kekal," jelas Safawi.

Bakal berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) musim depan, pemain berusia 19 tahun ini tidak runsing memikirkan saingan sengit berada dalam kesebelasan utama selain hanya perlu berusaha dengan lebih keras.

"Rezeki masing-masing, yang penting kita usaha dan berikan aksi yang terbaik sekiranya diturunkan," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment