Sabah uji kekuatan dengan Sarawak malam esok

By Ammar Hakim 7 January 2017
Sabah uji kekuatan dengan Sarawak malam esok

Pasukan Sabah akan menguji kekuatan mereka sebelum menghadapi Liga Malaysia 2017 apabila turun menentang skuad Ngap Sayot di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Perlawanan berkenaan turut menyaksikan pasukan yang popular dengan jolokan 'Sabah Rhinos' itu bersaing dengan skuad lebih berkualiti selepas beberapa aksi persahabatan bertemu pasukan tempatan.

Pengendali Sabah, Steve Vilmiaire, berkata Sarawak adalah lawan yang sesuai kerana beliau bukan saja mahu menguji pasukan di gelanggang lawan, malah mahu melihat sejauh mana perkembangan pasukan setakat ini.

"Saya ada dua objektif dalam perlawanan ini (bertemu Sarawak). Pertama, kami mahu menguji kekuatan pasukan di gelanggang lawan kerana ia tidak sama dengan aksi persahabatan di tempat sendiri.

"Ia juga satu ujian baik buat kami bagi persiapan menghadapi perlawanan pertama Liga Perdana bertemu Negeri Sembilan di tempat lawan pada 20 Januari depan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Vilmiaire berkata, objektif kedua ialah untuk berentap dengan pasukan yang lebih baik serta kuat berbanding aksi persahabatan bertemu kelab amatur sebelum ini.

"Ia satu ujian baik buat pasukan kerana kami mahu lihat sama ada kami boleh bersaing dengan pasukan lebih kuat, lebih-lebih lagi pasukan ini dibarisi ramai pemain muda.

"Selepas perlawanan ini juga, kami akan mengesan dan seterusnya memperbaiki setiap kelemahan dari segi taktikal, teknikal dan tahap kecergasan pemain," katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Muar BC Seals Top Spot

By Ammar Hakim 7 Januari 2017. 11.22 AM