Sabah sediakan 'pen dan kertas' untuk Behe, Jitzono

By Ammar Hakim 6 December 2016
Sabah sediakan 'pen dan kertas' untuk Behe, Jitzono

Dua pemain import yang 'dijemput' Sang Badak, Jonathan Behe dan Masaya Jitzono semakin hampir menyarung jersi pasukan itu, musim depan, selepas pihak pengurusan skuad berkenaan dikatakan sangat berminat untuk mengikat mereka.

Perkara itu diakui Pengarah Sukan skuad Sabah, Adlene Messelem yang menyifatkan dua pemain berkenaan sangat sesuai beraksi bersama pasukan itu.

Selain itu, beberapa pemain import yang sebelum ini menyertai sesi pemilihan juga sudah tidak kelihatan dan difahamkan kesemua mereka kecuali Behe serta Jitzono telah 'terbang' meninggalkan Kota Kinabalu.

Menurut sumber, dua pemain itu telah menyatakan persetujuan mereka dan hanya menunggu laporan perubatan sebelum menandatangani kontrak.

Behe yang berasal dari Perancis memulakan karier sebagai pemain profesional bersama kelab di negaranya iaitu Montpellier.

Selain itu, pemain berkenaan turut pernah menyertai beberapa kelab lain termasuk Hamburger SV di Jerman, BEX Tero Sasana FC di Thailand dan Warriors FC di Singapura.

Ketika beraksi di Liga Singapura, pemain yang memiliki ketinggian 187cm itiu berjaya meledak 19 gol daripada 23 perlawanan.

Sementara itu, Jitzono yang berasal dari Chiba, Jepun berjaya mencipta sejarah bersama kelab Singapura, Albirex Niigata Singapore FC apabila pasukan itu dinobatkan sebagai juara Liga Singapura buat kali pertama selain berjaya memenangi Piala Komuniti Singapura, musim lalu.

Selain Albirex Niigata Singapore FC, beliau juga pernah menyertai beberapa kelab lain di Jepun termasuk JEF United Chiba, Aoyama Gakuin University, dan SC Sagamihara.

Kehadiran dua pemain itu hampir melengkapkan kouta pemain import untuk Sang Badak selepas pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, dilanjutkan kontraknya bagi tempoh semusim lagi.

Dalam perkembangan lain, Messelem, turut memberi bayangan seorang lagi pemain di bahagian serangan dari Algeria akan datang ke Kota Kinabalu untuk menjalani sesi pemilihan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu namun mendedahkan pemain berkenaan sangat berminat untuk menyertai 'projek' mereka bersama Sabah.

"Saya telah bercakap dengan dia (pemain dari Algeria) dan dia berminat untuk menjadi sebahagian daripada 'projek' kami di Sabah," katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment