Ronny, Nasir dan Davies tidak ke Singapura

By Staff Writer 4 October 2016
Ronny, Nasir dan Davies tidak ke Singapura
Ronny Harun, Nasir Basharuddin dan Matthew Davies diketepikan oleh pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, untuk aksi persahabatan berdepan Singapura, Jumaat ini, kerana masalah kecederaan dan kecergasan.

Walaupun tersisih untuk aksi berdepan Singapura, ketiga-tiga pemain itu tidak digugurkan daripada senarai skuad kebangsaan dan masih berpeluang untuk beraksi berdepan Afghanistan, bagi aksi persahabatan 11 Oktober dan saingan Piala Suzuki AFF, bulan depan.

Ronny dan Nasir masih beransur pulih daripada kecederaan belakang manakala Davies baru saja pulih daripada jangkitan selesema.

"Mereka tidak digugurkan tetapi akan melakukan sesi pemulihan di Kuala Lumpur bersama pegawai yang telah di tetapkan dan akan bersama dengan pasukan setelah skuad kebangsaan kembali dari Singapura untuk persiapan menentang Afghanistan," jelas Kim Swee.

Tanpa kelibat Ronny, Kim Swee kini sedang memantau prestasi beberapa pemain pertahanan untuk digandingkan selaku pertahanan tengah berdepan Singapura.

Meskipun Shahrom Kalam kini bersama pasukan, Kim Swee tidak berasa kapten Selangor itu sedia untuk beraksi 90 minit dan kemungkinan gandingan baru akan digunakan berdepan Singapura.

Abdul Latif Suhaimi, Khairul Helmi Johari dan Shahrul Saad adalah antara pemain yang bakal digandingkan.

"Kami mempunyai Khairul Helmi, Shahrul Saad dan Latif yang boleh bermain sebagai pertahanan tengah, termasuk Fadhli (Shas). Jadi, kami mempunyai empat pemain yang boleh beraksi di bahagian pertahanan tengah.

"Saya akan membuat penilaian terhadap mereka sebelum menentukan siapakah yang bakal beraksi di dalam kesebelasan utama. Kemungkinan saya akan meletakkan gandingan yang baru dan melihat dari segi pengalaman."

About Author

Staff Writer

Comment