Rizal kekal bersama skuad Lang Merah

By Ammar Hakim 25 December 2016
Rizal kekal bersama skuad Lang Merah

Pertahanan kanan Kedah, Rizal Ghazali, mengesahkan dia akan terus bersama skuad Lang Merah untuk musim 2017 bagi menghadapi saingan Liga Malaysia walaupun sebelum ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Felda United.

Rizal, yang dinobatkan sebagai pertahanan terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, memberikan komitmennya kekal bersama Kedah musim depan.

Pemain berusia 24 tahun itu kini mahu meneruskan cabaran bersama Kedah bagi musim 2017 selepas kejayaan meraih kejuaraan Piala Malaysia musim lalu.

"Saya berharap kejayaan musim ini dapat diulangi pada musim akan datang. Seperti yang diketahui, saya tidak akan meninggalkan Kedah," katanya.

Rizal menyedari dia kini lebih dikenali selepas mengharungi musim cemerlang pada 2016 apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia serta menjaringkan gol pendahuluan Kedah dalam perlawanan itu.

Namun, pengiktirafan yang diterima tidak membuatkannya lupa diri, sebaliknya memberikan motivasi tambahan untuk terus berjaya dalam kerjaya bola sepaknya.

"Kejayaan pasukan merupakan sasaran utama saya, pengiktirafan individu ini dianggap sebagai bonus buat diri saya untuk memajukan lagi kerjaya saya bagi masa akan datang."

Rizal merupakan perisai terbaik yang dimiliki Kedah, terutama sekali sepanjang perjuangan musim ini, di mana dia turut menghalang Selangor daripada menambah koleksi Piala Malaysia pada pentas final 2016, selain menjadi sebahagian barisan hebat Kedah ketika muncul juara Liga Perdana pada 2015.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment