Rizal Ghazali hadirkan saingan sengit buat Matthew Davies

By Ammar Hakim 21 March 2017
Rizal Ghazali hadirkan saingan sengit buat Matthew Davies

Bek kanan skuad Harimau Malaysia, Matthew Davies, mengakui dia perlu menggandakan usaha jika mahu berada dalam kesebelasan utama untuk aksi persahabatan dengan Filipina, esok.

Bagi pemain Pahang ini, kehadiran pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, di dalam skuad kebangsaan membolehkan persaingan sihat dalam pasukan untuk mendapatkan posisi pertahanan kanan.

Bekas pemain Perth Glory itu menyedari Rizal kini di prestasi terbaik dan dan dia perlu bekerja keras memikat pengendali negara, Datuk Ong kim Swee.

“Ia adalah satu persaingan yang sihat, Rizal seorang pemain yang bagus dan saya akan cuba sehabis baik untuk bersaing dengannya. Saya tidak pasti siapa yang akan dipilih jurulatih tapi saya pasti siapa yang terpilih akan melakukan yang terbaik,” jelas Matthew.

Namun, Matthew berasakan prestasinya musim ini lebih baik berbanding musim lalu dalam Piala Suzuki AFF.

Prestasi ampuh Pahang dalam Liga Super musim ini turut membantu meningkatkan kembali keyakinannya bersama skuad negara.

“Saya berharap dapat meraih kemenangan, ini merupakan perlawanan kompetitif pertama buat kami tahun ini.

"Sudah pasti kemenangan mampu membina keyakinan yang baik. Saya agak gembira dengan situasi kali ini. Ia berbeza berbanding tahun lalu kerana kami berjuang untuk mengelak penyingkiran dan tahun ini kami sedang cuba untuk meraih beberapa kemenangan. Semua pihak di Pahang tampak gembira dengan prestasi semasa kami.”

About Author

Ammar Hakim

Comment