Richard anggap FAM semakin dinamik

By Ammar Hakim 26 March 2017
Richard anggap FAM semakin dinamik

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, menganggap barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih dinamik berdasarkan kepakaran masing-masing.

Barisan kepimpinan FAM bagi penggal 2017-2021 dibentuk dalam kongres ke-53 badan induk itu semalam.

Ia menyaksikan muka-muka baru mendominasi jawatan tatkala Datuk Seri Subahan Kamal kembali dalam tampuk kepimpinan FAM.

Datuk Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram pula adalah daripada barisan kepimpinan terdahulu yang mendapat kenaikan jawatan kali ini.

Dibarisi beberapa individu yang punyai kepakaran berbeza, Richard mengakui kepimpinan FAM kali ini memiliki aura tersendiri.

"Barisan kepimpinan FAM kali ini memiliki keunikan serta mampu menghasilkan sesuatu yang positif buat bola sepak negara," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) ini, bagaimanapun, menegaskan barisan kepimpinan baru FAM perlu agresif dalam gerak kerja mereka.

Ia bagi melaksanakan tugas masing-masing seiring dengan saranan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam merintis era baru bola sepak negara.

"Kami mempercayai bahawa Tunku Ismail adalah seorang pemimpin yang dinamik dan laju. Baginda mahu mendapatkan sesuatu dilakukan dalam kadar segera dan ini yang diperlukan buat bola sepak negara."

About Author

Ammar Hakim

Comment