Posa Majais presiden baharu FA Sarawak

By Ammar Hakim 7 January 2017
Posa Majais presiden baharu FA Sarawak

Ahli perniagaan, Datuk Posa Majais, 53 tahun, diumum sebagai presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Posa, yang juga pengurus skuad Ngap Sayot pada musim ini, dipilih secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa FAS pagi tadi.

Bukan orang baharu, Posa yang sebelum ini memikul peranan sebagai naib presiden, pernah menjadi pengurus pasukan Piala Malaysia, Piala Presiden serta kejohanan peringkat umur beberapa tahun lalu.

Ditanya kenapa tidak menoktahkan isu ini lebih awal, beliau berkata beliau hendak memberi peluang kepada orang lain yang lebih layak terlebih dahulu.

"Hanya setelah semua pihak menolak, beberapa minggu lalu saya mengambil keputusan untuk memikul tanggungjawab ini.

"Ia satu tanggungjawab yang sangat berat," tegasnya lagi.

Beliau juga akan mengekalkan kedudukannya sebagai pengurus pasukan utama Sarawak untuk sementara waktu bagi memberi perhatian kepada pasukan yang baharu dibentuk itu.

Dalam mesyuarat agungnya pada 17 September lalu, jawatan presiden FAS dikosongkan mengikut perlembagaan  bagi memilih "orang baharu" setelah Datu Sudarsono Osman bertegas dengan keputusannya untuk tidak dipilih semula.

Dalam mesyuarat tersebut, Abdul Wahab Rahim yang mewakili Persatuan Bola Sepak Sarikei dipilih sebagai timbalan presiden FAS, sekali gus memangku jawatan presiden untuk sementara waktu.

Empat muka baharu kemudian dipilih sebagai naib presiden, iaitu Cassidy Morris, Abang Suhordie Abang Zaini, Duke Janteng dan Posa manakala seorang muka lama, Razali Dolhan mengekalkan kedudukannya.

Beberapa nama termasuk Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Layar, Gerald Rentap Jabu, sebelum itu diuar-uarkan untuk mengisi jawatan tersebut.

Tokoh usahawan wanita terkemuka Sarawak, Datuk Hanifah Taib-Alsree, ketika dijemput untuk menjadi presiden, memilih untuk membantu dari belakang, dengan menjadi penasihat persatuan tanpa sebarang komitmen yang jelas.

About Author

Ammar Hakim

Comment