PKNS dalam usaha bina stadium sendiri

By Ammar Hakim 24 March 2017
PKNS dalam usaha bina stadium sendiri

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar, memberi bayangan daripada tiga tapak lokasi yang bakal dibangunkan untuk membina stadium milik mereka sepenuhnya, tanah lapang di Seksyen 16, Shah Alam menjadi pilihan utama. 

Bagi menyahut seruan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), PKNS juga berhasrat untuk mendapat lesen kelab dan pembinaan stadium sendiri adalah salah satu wawasan kelab ke arah itu.

Sebelum ini, tiga lokasi berlainan telah dicadangkan, antaranya Shah Alam, Ijok dan juga Bernam Jaya.

Namun, Shah Alam menjadi pilihan utama memandangkan ia menepati kriteria yang ditetapkan AFC, antaranya jarak stadium dan lapangan terbang perlu berada dalam lingkungan 200 kilometer dan kemudahan hotel empat bintang ke atas kepada pasukan pelawat.

Projek ini masih di tahap perbincangan awal, namun ia adalah antara pelan jangka pendek lima tahun kelab itu.

"Saya telah berbincang dengan pihak PKNS untuk membina satu stadium mini tetapi urusan pemilikan tanah harus diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Menyedari keuntungan stadium dijana melalui kehadiran penonton, Siti Zubaidah juga akan melaksanakan penjenaman semula untuk PKNS agar mereka dapat berdiri sebagai satu entiti tersendiri di samping menarik lebih ramai penyokong baru. 

"Kami sedang melalui satu proses penjenamaan pasukan dan cuba untuk menarik lebih ramai peminat bola sepak untuk menyokong PKNS."

About Author

Ammar Hakim

Comment