'Pihak luar' jangan masuk campur urusan Sang Badak

By Ammar Hakim 15 January 2017
'Pihak luar' jangan masuk campur urusan Sang Badak

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Musa Aman memberi amaran kepada 'pihak luar' supaya tidak masuk campur dalam urusan Sang Badak, musim ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata hanya mereka yang layak saja boleh berada dalam pasukan serta membuat keputusan untuk pasukan.

"Jika saya masih Presiden SAFA, saya akan pastikan tiada siapa yang boleh ganggu jurulatih untuk laksana tugas," katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Pemain, Pegawai dan Jersi Sabah bagi musim 2017, di Kota Kinabalu, hari ini.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah turut memberi amaran akan memecat pengurusan, jurulatih atau pemain yang gagal memberikan khidmat terbaik pada musim ini.

"Seperti kita sedia maklum, persembahan dan prestasi pasukan musim lalu amat mengecewakan selain hampir tersingkir daripada saingan Liga Perdana.

"Sehubungan itu, saya akan lebih serius dalam membuat keputusan dan tidak teragak-agak untuk memecat jurulatih, pengurusan dan juga pemain jika tidak memberi khidmat terbaik pada musim ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada pihak pengurusan pasukan khususnya jurulatih dengan lebih kerap.

"Jurulatih akan selalu berjumpa dengan saya untuk memaklumkan perkembangan pasukan serta memberi peluang untuk saya tentukan keputusan yang terbaik musim ini," katanya.

Terdahulu, seramai 23 pemain diumumkan bakal membawa cabaran Sang Badak dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.

Antara yang diumumkan termasuk empat pemain import iaitu Igor Cerina, Jonathan Behe, Masaya Jitzono dan Sofiane Choubani.

Sementara itu, pemain lain yang turut disenaraikan ialah Rozaimie Rohim; Robson Rendy Rining; Mohd Sakri; Alto Linus; Rawilson Batuil; Dendy Lowa; Mohd Azzizan Nordin; Jenius Karib; Leopold Alfonso Otong; Ummareng Bachok; Ricco Nigel Milus; Radzi Md Hussin; Maxsius Musa; Mohd Azwan Abd Fattah; Randy Baruh @ Samson; Rahman Shah Marajeh; Saliun Mastar; Sabri Sahar dan Sumardi Hajalan.

Dalam pada itu, Sabah juga dikendalikan dua jurulatih dari Perancis iaitu Steve Vilmiaire selaku ketua jurulatih serta Adlane Messelem sebagai pengarah sukan SAFA.

About Author

Ammar Hakim

Comment