Piala Suzuki: Malaysia terima pengajaran daripada Vietnam

By Ammar Hakim 23 November 2016
Piala Suzuki: Malaysia terima pengajaran daripada Vietnam

MALAYSIA 0 VIETNAM 1

Barisan negara menempah laluan sukar dalam kempen Piala Suzuki AFF apabila tewas 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan B di Stadium Thuwanna, Yangon, hari ini.


Pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, memberikan kepercayaan kepada penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, untuk mengemudi jentera serangan.

Kapten pasukan, Amri Yahyah, pula diberikan tanggungjawab bermain di posisi nombor 10 untuk merencanakan serangan Malaysia.

Cuaca panas di Yangon nyata memberikan kesan kepada prestasi pemain negara selain aksi keras yang ditampilkan Vietnam.

Tiada gol berjaya dihasilkan dalam babak pertama, memaksa Kim Swee mengubah corak permainan skuad negara.

Syazwan Zainon hampir memberikan gol pertama buat Malaysia pada minit ke-51, bagaimanapun percubaan derasnya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Tran Nguyen Manh.

Selang 10 minit kemudian, Hazwan melepaskan rembatan voli selepas menerima hantaran daripada Amri tetapi Nguyen sekali lagi mematahkan harapan Malaysia untuk mendahului perlawanan.

Vietnam akhirnya menghukum kelalaian benteng negara menerusi Nguyen Trong Hoang yang berjaya memperdaya dua pertahanan negara dalam kekalutan di dalam kawasan penalti untuk menjaringkan gol buat Vietnam pada minit ke-79.

Pemain gantian, Zaquan Adha Abdul Radzak hampir berjaya menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan dengan tandukannya, namun kesudahannya Malaysia perlu mengatasi tuan rumah, Myanmar dalam perlawanan terakhir pada Sabtu untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

"Kami kecewa dengan keputusan ini, pemain-pemain telah memberikan yang terbaik, kesilapan kami gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti telah menghukum kami," kata Kim Swee.

"Vietnam merupakan satu pasukan yang kuat, mereka melakukan asakan demi asakan sebelum menjaringkan gol. Kami masih lagi berbaki satu perlawanan dan berharap untuk melakar kemenangan, sekaligus mara ke pusingan seterusnya."

"Ia seperti yang saya jangkakan sebelum ini di mana ia merupakan perlawanan yang sukar. Jadi kami lebih bernasib baik kerana berjaya mendapat jaringan itu," ujar Nguyen Huu Thang, jurulatih Vietnam.

About Author

Ammar Hakim

Comment