Piala Suzuki: Komitmen dan semangat tinggi mampu benam Myanmar -- Zaquan

By Shaiful Shamsudin 25 November 2016
 Piala Suzuki: Komitmen dan semangat tinggi mampu benam Myanmar -- Zaquan
Pemain sayap negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, bertekad mengerah sepenuh keringat untuk memastikan Malaysia menewaskan Myanmar dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 di Stadium Thuwanna, esok. 

Menurutnya, kesempatan yang diberikan jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, akan dibalas dengan semangat juang yang tinggi. 

"Tidak kiralah sama ada dimasukkan ketika berbaki 10 minit permainan atau dalam kesebelasan utama, yang penting komitmen yang diberikan walaupun hanya dalam tempoh 10 minit. 

"Baik dalam kesebelasan utama dan di luar padang, pemain harus memberikan komitmen yang tinggi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Nadi Arena. 

Biarpun Myanmar bakal mendapat sokongan padu penyokong sendiri selain faktor hanya memerlukan keputusan seri, Zaquan tidak menganggap itu sebagai sebagai kelebihan besar. 

"Sebagai pemain profesional, sepatutnya kami sudah lali dengan situasi penonton yang ramai. Tak mustahil tuan rumah boleh dikalahkan. 

"Cuma yang paling penting ketika ini, komitmen dan semangat di kalangan pemain. 

"Kami harus bersatu untuk mencapai tiga mata yang amat penting.

"Kami mengharapkan kemenangan kerana tiada pilihan lain. Walau macam mana pun dari sudut positif, persembahan kami sudah mulai meningkat dalam permainan."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment