Piala Suzuki: Harimau Malaysia tentukan nasib sendiri

By Shaiful Shamsudin 24 November 2016
Piala Suzuki: Harimau Malaysia tentukan nasib sendiri
"Kita yang tentukan". Itu mungkin ingatan yang cuba disampaikan jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, kepada barisan pemain Harimau Malaysia selepas berasakan peluang untuk mara ke separuh akhir terletak di tangan mereka sendiri. 

Harimau Malaysia terpaksa berputih mata selepas tewas tipis 1-0 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B, petang semalam. 

Pemain tengah Vietnam, Nguyen Trong Hoang, muncul pemusnah dengan menyumbat gol kemenangan pada lewat permainan. 

Ia secara tidak langsung meletakkan Malaysia dalam kesukaran untuk melepasi halangan peringkat kumpulan, apatah lagi tuan rumah, Myanmar, berjaya membenam Kemboja 3-1. 

"Tidak. Myanmar yang sepatutnya berada dalam tekanan, bukannya kami. 

"Ketika ini, peluang terletak di tangan kami sendiri, kami perlu menewaskan Myanmar.

"Saya percaya jika kami mahu layak, kami perlu berada di tahap terbaik untuk menewaskan pasukan tuan rumah," kata Kim Swee sejurus tamat perlawanan semalam. 

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara gagal layak ke separuh akhir adalah pada edisi 2008. 

Jika berulang pada tahun ini, ia sememangnya memberi tamparan hebat kepada bola sepak negara, terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Kredit imej: OfficialHarimauMalaysia

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment