Piala Suzuki: Harimau Malaysia masuk jerat Myanmar

By Shaiful Shamsudin 26 November 2016
 Piala Suzuki: Harimau Malaysia masuk jerat Myanmar
Terdesak dalam pemburuan gol ternyata menjerat Harimau Malaysia apabila impian mereka melepasi peringkat Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 diranapkan oleh gol kemenangan Myanmar pada minit-minit akhir permainan. 

Kekalahan 1-0 kepada Myanmar itu menyingkirkan pasukan kebangsaan daripada kejohanan dwi-tahunan itu. 

"Kami tahu kami perlukan gol dan kami bermula dengan agak baik di mana banyak percubaan yang dilakukan," kata jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee. 

"Pada masa yang sama, mereka juga mempunyai peluang. 

"Pada minit-minit terakhir perlawanan, sudah tentu saya menukar pemain di bahagian pertahanan untuk mendapatkan gol. 

"Tapi malangnya apabila pada minit-minit terakhir, kami dibolosi kerana inginkan gol untuk layak," tambahnya. 

Myanmar, yang akan berdepan Thailand di peringkat separuh akhir, menyifatkan mereka telah menampilkan aksi yang menjurus kepada kemenangan mereka.

Jurulatihnya, Gerd Zeise berkata, "Pada separuh masa pertama, kami patut mematikan perlawanan. 

"Kami gagal melakukannya sehingga membuatkan kami agak tertekan. Tapi kami memang berhak dan kami akan menghadapi Thailand selepas ini."



About Author

Shaiful Shamsudin

Comment