Piala Suzuki: Benteng terakhir negara lahir rasa kecewa tewas kepada Vietnam

By Ammar Hakim 23 November 2016
Piala Suzuki: Benteng terakhir negara lahir rasa kecewa tewas kepada Vietnam

Barisan terakhir negara melahirkan rasa kecewa setelah gagal untuk memastikan gawang tidak dibolosi apabila menyaksikan Harimau Malaysia tewas 1-0 kepada Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

"Minit-minit terakhir kami hilang tumpuan dan Vietnam telah menghukum kesilapan kami dengan jaringan gol," kata penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Dalam pada itu, pemain pertahanan negara, Ronny Harun, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan ekoran kesilapan pada minit ke-79 itu yang meragut peluang skuad negara untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlawanan dengan bekalan satu mata.

"Kecewa itu pastinya ada kerana kami telah bertahan dengan baik dari separuh masa pertama, tetapi minit-minit terakhir kami dibolosi dan saya sangat kecewa," ujar Ronny.

Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan negara, Shahrom Kalam, tetap optimis pasukan negara masih mempunyai peluang untuk mara ke separuh akhir.

"Bagi saya, ia satu kerugian buat negara kerana kami kehilangan mata. 

"Kami masih percaya peluang untuk ke separuh akhir itu masih ada kerana perlawanan terakhir yang akan menentukan segalanya.

"Insya-Allah kami mampu untuk melangkah ke separuh akhir," kata Shahrom.

About Author

Ammar Hakim

Comment