Piala Suzuki: Aksi kesebelasan utama jadi rebutan Hadin, Khairul Helmi

By Shaiful Shamsudin 16 November 2016
Piala Suzuki: Aksi kesebelasan utama jadi rebutan Hadin, Khairul Helmi
Misi berbeza buat dua pemain Harimau Malaysia, Hadin Azman dan Khairul Helmi Johari, dalam pembabitan mereka dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini.

Persembahan memikat bersama Felda United musim ini menyaksikan Hadin berada dalam senarai akhir skuad kebangsaan. 

Lantaran itu, dia bertekad mahu membalas kepercayaan yang diberikan pengendali, Datuk Ong Kim Swee. 

Apatah lagi, ini kali pertama dia bakal mewakili negara di pentas kejohanan tertinggi rantau ini. 

Hadin menyumbat gol antarabangsa pertama dalam kariernya ketika skuad negara mengikat Afghanistan 1-1 dalam aksi persahabatan 11 Oktober lalu apabila dimasukkan sebagai pemain gantian. 

"Saya masih berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Insya-Allah saya akan cuba sehabis baik untuk mendapatkan tempat kesebelasan utama dalam Piala AFF. 

"Kami akan berdepan cabaran tinggi kerana aksi peringkat kumpulan juga boleh tahan sengit. Tapi, kami akan cuba menghadapi satu persatu perlawanan untuk mencapai ke peringkat yang lebih tinggi," katanya. 

Dalam masa yang sama, Khairul Helmi berharap kejayaan 2010 mampu diulangi bersama skuad kendalian Kim Swee pada kali ini. 

Pada edisi enam tahun lalu, dia tersenarai dalam skuad juara bimbingan Datuk K. Rajagobal, namun tidak berpeluang untuk beraksi dalam sebarang perlawanan. 

Lantas, pemain Kedah itu mahu membuktikan dia mampu dijadikan antara sandaran untuk mengawal benteng pertahanan negara. 

"Memang menjadi salah satu sasaran saya untuk berada dalam kesebelasan utama. 

"Apa yang penting semasa sesi latihan, kami akan bekerja keras. Sama ada dapat bermain dalam kesebelasan utama atau tidak, itu terpulang kepada jurulatih. 

"Sebagai pemain, kami sentiasa memberikan aksi terbaik," ujarnya. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment

Read Next

FAS berdepan masalah dana

By Ammar Hakim 15 November 2016. 11.52 AM