Piala Suzuki AFF: OKS mahu anak buah tampil dengan disiplin tinggi bertemu Vietnam

By Jannah Ali 22 November 2016
Piala Suzuki AFF: OKS mahu anak buah tampil dengan disiplin tinggi bertemu Vietnam
Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, menuntut corak permainan berbeza dan disiplin tinggi daripada anak buahnya untuk mencapai keputusan positif menentang Vietnam, esok.

Skuad negara menampilkan corak permainan terbuka ketika menentang Kemboja dalam aksi pertama, Ahad lalu.

Meskipun berjaya memenangi perlawanan tersebut 3-2, aksi Harimau Malaysia menyerlahkan kelompongan di beberapa bahagian tertentu, terutama pertahanan.

Dengan tugas lebih getir menanti berdepan Vietnam, Kim Swee percaya hanya pendekatan taktikal terbaik mampu membenam ego lawan yang tampak gah dalam Kumpulan B.

"Sudah tentu kami mahu menampilkan corak persembahan yang lebih baik berbanding apa yang telah kami persembahkan ketika bertemu Kemboja.

"Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, pasukan Vietnam yang hadir kali ini merupakan pasukan yang berbeza, mereka telah menunjukkan banyak peningkatan dan telah membuat persiapan yang rapi.

"Mereka juga telah mununjukkan keseimbangan di dalam pasukan. Tugas kami tentunya tidak akan memberikan permainan yang mudah untuk mereka dan dalam masa yang sama cuba untuk mendapatkan keputusan yang baik," jelas Kim Swee.

Sementara itu, pengendali Vietnam, Nguyen Huu Tang, mahu anak buahnya membalas dendam atas kekalahan pasukan itu kepada Malaysia, dua tahun lalu.

Vietnam tewas 0-3 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2014 di laman sendiri, sekali gus tersingkir daripada kejohanan dengan agregat 4-2.

"Saya tidak membimbing pasukan ini dua tahun lalu, jadi saya tidak tahu apa yang terjadi.

"Tetapi, apa yang pasti kekalahan tersebut memberikan kami motivasi dan yang lebih penting, pemain perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana akan beraksi dalam cuaca panas," jelasnya.

About Author

Jannah Ali

Comment