Piala Suzuki AFF - Mengambil iktibar dari ahli pasukan Harimau Malaya 1980

By Azmin Mohd Khalib 17 November 2016
Piala Suzuki AFF - Mengambil iktibar dari ahli pasukan Harimau Malaya 1980

Awal minggu ini, saya telah menghadiri persidangan MIA (Malaysian Institute of Accountants) di Kuala Lumpur selama dua hari. Sesi terakhir persidangan itu adalah sesi panel yang dikendalikan oleh Datuk Rahim Razali yang kita semua kagumi. Ahli panelnya pula, pendek kata, merupakan lagenda bolasepak Malaysia. Mereka adalah:

  • Datuk Soh Chin Aun
  • Datuk Santokh Singh
  • Datuk Hassan Sani
  • Datuk James Wong

Pihak penganjur telah membawa mereka masuk untuk berkongsi pengalaman mereka. Untuk menceritakan perasaan mereka sebagai pasukan bolasepak Malaysia yang terakhir berjaya layak ke Kejuaraan Olimpik setakat ini.

Saya pastinya tidak dapat menceritakan semula semua yang mereka telah ceritakan. Saya terlalu teruja mendengar semuanya, Diketuai oleh kapten kesayangan mereka Datuk Soh Chin Aun (atau lebih dikenali sebagai Tauke), mereka mengimbas semula kehidupan mereka sebagai ahli pasukan bola sepak pada waktu itu. Bagaimana mereka semuanya tidur di asrama, dan bukan mewah seperti sekarang. Bagaimana mereka mendapat pakaian untuk dipakai untuk sesuatu kejuaraan, tetapi terpaksa memberikan pakaian itu kembali selepas habis kejuaraan itu! Namun, kekurangan-kekurangan ini juga yang membantu merapatkan mereka sebagai satu pasukan.

Mereka menceritakan bagaimana sewaktu di padang mereka selalu memarahi satu sama lain apabila membuat kesilapan, tetapi tetap berkawan rapat di luar padang. Bagaimana mereka bersatu dengan matlamat yang sama untuk mewakili Malaysia. Mereka tidak bermotivasikan wang, dan perbezaan kaum tidak menjadi masalah.

Datuk Santokh Singh pula menggariskan panduan 3D yang menjadi kunci utama kejayaan keseluruhan mereka: Determination (Keazaman). Discipline (Disiplin). Dedication (Dedikasi).

Tiga atribut yang sememangnya boleh dikatakan adalah keperluan yang penting dalam usaha mencapai kejayaan.

Datuk James Wong, atau juga dikenali sebagai King James memberitahu kita sekiranya kita perlu memegang Malaysia rapat ke hati kita, untuk mengecapi kejayaan. Ada sebab mudah mengapa bendera kebangsaan, atau simbol dan logo sepertinya, dijahit di sebelah kiri mana-mana jersi kebangsaan negara.

Datuk Hassan Sani pula ditanya mengenai gol terakhir menentang Korea dalam perlawanan akhir kelayakan Piala Dunia 36 tahun yang lalu. Mengapa dia menghantar bola itu ke Datuk James, walhal beliau sendiri mempunyai peluang yang cukup baik untuk menjaringkan gol itu sendiri dan menjadi hero,terutama setelah larian solo beliau yang sungguh berinspirasi. Jawapannya cukup mudah. Teamwork. Kerja berpasukan. Dia tidak lihat mana-mana gol yang dijaring sebagai pencapaian individu. Bagi mereka, gol merupakan pencapian bersama. Semua telah bekerjasama untuk mendapat gol itu. Mudah kata, SEMUA pemain dalam pasukan itu telah menjaringkan gol itu.

Bunyinya mudah tetapi mungkin perkara yang betul biasanya begitu...

Legends2

Mereka telah meninggalkan saya dengan perasaan yang cukup teruja, dan saya pasti ramai dari penonton yang lebih 2,000 itu juga berperasaan yang sebegitu. Memang ramai yang kemudiannya mendapatkan gambar bersama idola-idola bolasepak negara ini, tetapi saya juga pasti ramai yang mendapat inspirasi dari kata-kata mereka. Ia sebagai peringatan kepada kita semua. Jika anda mewakili Malaysia, tidak kira dalam sukan, bisnis, atau apa sahaja, pastikan anda melakukannya dengan sepenuh hati. Dan jika kita semua boleh bersatu, dengan kerjasama yang kuat, apa sahaja mampu kita lakukan.

Sabtu ini akan menyaksikan permulaan Piala  AFF Suzuki, di mana Filipina dan Myanmar akan bekerjasama sebagai tuan rumah. Perlawanan Malaysia yang pertama adalah pada hari Ahad di mana mereka akan berhadapan Cambodia.

Malaysia menyertai pertandingan ini sebagai pilihan kedua, disebabkan prestasi Malaysia yang agak baik dalam Piala Suzuki sejak memenanginya pada tahun 2010. Tetapi realitinya, keadaan pasukan ketika ini tidak begitu menggalakkan. Mereka hanya menang sekali sahaja sejak bulan Jun, iaitu kemenangan 2-1 menentang Papua New Guinea. Pasukan negara juga masih merasakan kehilangan empat pemain utama mereka yang mengumumkan persaraan mereka dari pasukan negara hanya beberapa bulan yang lalu.

Cambodia mungkin bukan antara ‘favourite’, dan ini adalah kali pertama mereka layak sejak tahun 2008, tetapi Malaysia perlu memulakan kejuaraan ini dengan kuat. Satu kemenangan yang kuat akan memberikan mereka asas untuk meneruskan perjuangan apabile bertemu pasukan Vietnam yang agak kuat, diikuti tuan rumah bersama iaitu Myanmar, dan sudah pasti penonton mereka akan memberikan sokongan yang padu.

Bolehkah pasukan Malaysia berjaya sekali lagi? Cabaran ternyata hebat. Tetapi sekiranya mereka mampu bersemangat seperti pasukan Harimau Malaya 1980, menjulang piala Suzuki tidak mustahil. Mereka harus percaya yang mereka boleh melakukannya. Dan kita juga perlu percaya bersama mereka.

Oleh itu, marilah kita, buat masa ini, menyimpan segala kritikan yang pernah kita lemparkan, sama ada dari segi pasukan, pemain-pemain ataupun pihak pengurusan. Kita sorakkan mereka, doakan kejayaan mereka dan sokong pasukan Malaysia habis-habisan!

Malaysia Boleh!

About Author

Azmin Mohd Khalib

Comment