Piala Suzuki AFF: Kim Swee gesa permulaan baik

By Shaiful Shamsudin 18 November 2016
Piala Suzuki AFF: Kim Swee gesa permulaan baik
Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, menuntut anak buahnya supaya mengelak sindrom lambat panas untuk memastikan langkah kanan buat Malaysia dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF sejak 2008.

Skuad negara gagal memulakan langkah positif dalam tiga edisi sebelum ini. 

Pada 2010, skuad negara dibelasah Indonesia 5-1, tumpas 3-0 di tangan Singapura dan pada 2012 dan seri tanpa jaringan menentang Myanmar, dua tahun kemudian. 

Kali ini, skuad negara yang dibimbing Kim Swee sudah pasti mahu memadam rekod buruk itu menerusi tiga mata penuh ke atas Kemboja pada Ahad ini. 

"Ia adalah perlawanan penting buat kami pada Ahad ini. 

"Kami perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang ada untuk menyuntik motivasi dan memberi keyakinan untuk mengharungi dua perlawanan berikutnya."

Skuad negara menjalani latihan rasmi dua hari sebelum perlawanan menentang Kemboja di Stadium Thuwunna, Yangon dan Kim Swee mengakui ia tidak menjadi masalah buat pasukannya. 

"Seperti biasa, kami pernah bermain di stadium ini pada bulan Mei apabila seri 0-0 dengan pasukan Myanmar.

"Saya tidak nampak sebarang isu akan timbul jika kami hanya mempunyai satu sesi latihan di stadium utama mereka."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment