Piala Suzuki AFF: Harimau Malaysia impi cerahkan laluan ke separuh akhir

By Shaiful Shamsudin 22 November 2016
Piala Suzuki AFF: Harimau Malaysia impi cerahkan laluan ke separuh akhir
"Jangan tunggu aksi terakhir," itu peringatan pengurus Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, kepada pemain negara yang digesa beraksi seperti perlawanan akhir ketika menentang Vietnam, petang esok. 

Skuad negara mampu meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir seandainya berjaya membenam Vietnam. 

Meskipun tampak sukar, ia misi yang harus direalisasikan skuad negara untuk mengelak ranjau ketika berdepan tuan rumah, Myanmar, dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. 

Perkara itu diakui Hamidin selepas mengadakan perbincangan dengan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee. 

"Perlawanan menentang Vietnam adalah mustahak. 

"Kami tidak mahu menunggu perlawanan bertemu Myanmar kerana itu akan membuatkan kami akan lebih terdesak. 

"Jadi, pasukan, pegawai dan pemain tahu bahawa aksi menentang Vietnam ini ibarat perlawanan final. 

"Kami akan berhabis-habisan untuk memenangi perlawanan ini. Ini mesej saya kepada pasukan," katanya.  

Hamidin, bagaimanapun, menyerahkan sepenuhnya kepada Kim Swee untuk mencanang pendekatan taktikal terbaik bagi mencapai misi itu. 

Dalam pada itu, skuad negara semalam diraikan dengan jamuan makan malam oleh Kedutaan Besar Malaysia di Yangon. 

Majlis dihadiri Ketua Canseri Kedutaan, Syajaratud Durri Abdullah, yang turut memberi kata-kata semangat kepada pemain negara menjelang pertemuan getir dengan Vietnam. 

"Sudah tentu Kim Swee akan menukar strategi atau pemain yang bersesuaian untuk berdepan Vietnam. 

"Dengan meletakkan pemain yang betul dan taktikal yang sesuai, kami akan dapat mengalahkan Vietnam," kata Hamidin lagi.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment