Piala Suzuki AFF 2016: Ikut wisel, bukan ikut bendera -- Kim Swee

By Amirul Azreen 20 November 2016
Piala Suzuki AFF 2016: Ikut wisel, bukan ikut bendera -- Kim Swee

Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, beranggapan gol kontroversi Kemboja sebagai pengajaran kepada anak buahnya selepas menyaksikan mereka bangkit dua kali sebelum melakar kemenangan 3-2 pada Ahad.

Harapan skuad negara untuk meraih kemenangan dalam aksi pertama Piala Suzuki AFF 2016 hampir diragut Kemboja.

Ia susulan mereka dikejutkan dengan gol kontroversi lawan seawal minit kelapan oleh Chan Vathanaka.

Gol itu dibantah pemain negara apabila penjaga garisan mengangkat bendera sebagai tanda ofsaid, namun pengadil perlawanan mengesahkan jaringan kerana Vathanaka menerima bola sepakan Shahrul Saad.

Bagaimanapun, skuad negara berjaya bangkit menerusi Syazwan Zainon dan dua gol Amri Yahyah.

"Pemain perlu bermain mengikut wisel, bukan mengikut bendera.

"Yang penting, dalam perlawanan ini, pemain dapat bangkit memenangi perlawanan kerana kami sedar jika hanya mengutip satu mata, ia akan memberi tekanan terhadap pasukan," jelas Kim Swee.

Meskipun tewas, pengendali Kemboja, Lee Tae Hoon, tetap berpuas hati dengan aksi anak buahnya yang memberi saingan hebat kepada Malaysia.

"Kami mendapat beberapa peluang namun gagal dilunaskan. Bagaimanapun, jika pemain dapat mengekalkan prestasi semasa, saya yakin kami akan tampil lebih baik dalam aksi seterusnya," ujarnya.

Sementara itu, penjaring dua gol skuad negara, Amri, mahu momentum kemenangan pada Ahad diteruskan dalam aksi seterusnya.

"Saya harap kami mengekalkan rentak kemenangan ini dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Penyumbang gol pembukaan, Syazwan, mengakui cuaca panas mengganggu pergerakan pemain namun lega dengan kutipan tiga mata.

"Alhamdulilah kami mendapat tiga mata berharga tetapi cuaca panas beri kesan negatif terhadap permainan, jadi diharapkan dalam perlawanan seterusnya kami akan turun dengan persediaan yang rapi."

(Kredit imej: Laman sesawang FAM.org.my)

About Author

Amirul Azreen

Comment

Read Next

Sofea, si cilik yang lincah

By Ammar Hakim 20 November 2016. 6.49 AM