Piala Presiden: Roshadi harap tuah 2017

By Ammar Hakim 5 December 2016
 Piala Presiden: Roshadi harap tuah 2017

Kecundang di peringkat suku akhir dalam saingan Piala Presiden musim lalu, pengendali Terengganu, Roshadi Wahab, bertekad mahu membawa pasukan itu sekurang-kurangnya ke pentas final, musim hadapan.

“Sejak saya bersama skuad Piala Presiden Terengganu, ramai pemain berbakat membarisi pasukan ini yang kini meniti nama dalam skuad senior seperti Hafizal Mohamad, Radhi Yusof, Amirul Syahmi, Shahrin Sapien dan Safawi Rasid.

“Pasukan 2013 itu antara yang paling kuat, namun kami gagal mengecapi kejayaan bergelar juara dan kini saya mempunyai impian untuk membawa Terengganu sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir,” ujarnya.

Hanya mengekalkan 12 pemain musim lalu, Roshadi tetap yakin dengan barisan baharu Terengganu yang turut mendapat sentuhan bekas pemain negeri itu sebagai pembantu jurulatih.

“Selepas seminggu membuat penilaian dan pemilihan bersama barisan kejurulatihan, senarai 30 pemain yang akan menggalas cabaran pada 2017 kini sudah lengkap.

“Walaupun membariskan 18 pemain baharu, saya nampak ada potensi pada pemain yang dipilih memandangkan mereka tidak asing dengan kejohanan peringkat umur.

“Tujuh pemain adalah dari skuad Piala Belia manakala selebihnya dari pasukan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR), Liga Felda, skuad Piala Presiden Kelantan dan Negeri Sembilan serta tiga pemain daerah.

“Kami mula menjalani latihan hari ini (kelmarin) dan akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara untuk memperkemaskan pasukan, terutama di bahagian pertahanan.

“Selain itu, kehadiran Mohd Norhisham Hassan selaku pembantu jurulatih serta Zubir Ibrahim yang bertindak sebagai jurulatih penjaga gol dijangka mampu meningkatkan keyakinan pemain-pemain muda ini,” tambah Roshadi.

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Terbuka Macau: Tiada wakil negara dalam final

By 3 Disember 2016. 12.09 PM