Piala Presiden: Hashim gembira impak dibawa Faris

By Ammar Hakim 26 October 2016
Piala Presiden: Hashim gembira impak dibawa Faris

Pengendali skuad Piala Presiden Kelantan, Hashim Mustapha, nyata gembira dengan impak ketua pasukan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli, apabila pemain pertahanan itu mengemudi Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Presiden selepas menewaskan T-Team 2-0, semalam.

Faris, 21, yang juga ketua pasukan skuad Projek Sukan Sea 2017 di bawah kendalian Frank Bernhardt, mendapat pelepasan daripada skuad senior Liga Super dan beraksi cemerlang mematahkan serangan pasukan tuan rumah dalam perlawanan itu.

“Pelepasan Faris adalah satu kepulangan yang ditunggu-tunggu pasukan kami.

“Malah, peletakan jawatan (Velizar) Popov sebagai ketua jurulatih skuad senior adalah satu rahmat kerana saya tidak rasa Faris akan diberi kebenaran untuk beraksi bersama kami jika Popov masih bersama Kelantan.

“Alhamdulillah, Faris dapat beraksi bersama kami dan menunjukkan persembahan cemerlang bersama rakan-rakan yang lain,” katanya.

Seri 1-1 dalam aksi pertama di Kota Bharu, minggu lalu, Kelantan nyata tidak tertekan, malah dua jaringan Muhamad Raihan Mohd Huzaizi pada minit ke-40 dan Muhammad Danial Ashraf (m-81) mengesahkan kemenangan agregat 3-1 kepada pasukan itu.

“Saya berbangga dengan pemain Kelantan kerana mereka menunjukkan komitmen yang luar biasa.

“Sedikit kata dua telah diberikan kepada mereka dan saya mengingatkan mereka untuk menghabiskan perlawanan dalam 90 minit.

“Boleh dikatakan kami memperjudikan nasib kami untuk menang atau kalah, Alhamdulillah percaturan kami menjadi,” tambah Hashim.

About Author

Ammar Hakim

Comment