Piala Malaysia: Tiket habis dijual di Alor Setar dalam masa satu jam

By Ammar Hakim 26 October 2016
Piala Malaysia: Tiket habis dijual di Alor Setar dalam masa satu jam

Kehangatan perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 di antara Kedah dan Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini, jelas kian terasa apabila tiket yang dijual di Stadium Darulaman, Alor Setar habis dijual dalam masa satu jam pada pagi ini.

Ratusan penyokong Kedah sudah mula beratur sejak malam tadi untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir -- Kedah dan Selangor masing-masing diperuntukkan 30,000 tiket oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tinjauan Nadi Arena mendapati perkarangan stadium mula dipenuhi penyokong awal pagi tadi walaupun kaunter tiket hanya mula dibuka pada jam 10 pagi.

Penjualan tiket kali ini jelas berjalan lancar berbanding musim lalu apabila tiada insiden tidak diingini berlaku dengan kawalan ketat oleh pihak keselamatan.

“Jualan tiket sebanyak 9,000 keping untuk jualan kaunter amat memberangsangkan. Semua berjalan dengan lancar, penyokong beratur dengan penuh berdisiplin,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment