Piala FA: Sarawak hampir tewas kepada cuaca panas -- David Usop

By Ammar Hakim 13 March 2017
Piala FA: Sarawak hampir tewas kepada cuaca panas -- David Usop
"Kami hampir kecundang kerana kepanasan." Itu komen ketua jurulatih Sarawak, David Usop, sejurus layak ke peringkat suku akhir Piala FA pada Sabtu lalu.

Menurutnya, menjelang babak kedua bertemu Perlis di Kangar dalam perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang, anak-anak buahnya jelas keletihan.

"Bermain dalam keadaan terik dan kering menyebabkan mereka begitu cepat letih.

"Kami yang berada di luar padang lagikan terasa bahang, apatah lagi mereka yang beraksi di tengah padang," katanya.

Sarawak bakal bertemu Terengganu dalam aksi timbal balik peringkat suku akhir selepas mengecewakan Perlis 2-1 di tempat lawan.

Gol-gol Sarawak dijaringkan melalui tandukan oleh Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-26 dan sepakan penalti Mark Hartmann pada minit ke-33.

Perlis, bagaimanapun, merapatkan defisit gol melalui rembatan Kyu-Bin-O pada minit ke-49.

Menurut David, Perlis sememangnya memiliki kelebihan kerana mereka biasa dengan cuaca sebegitu, selain menjadi rutin beraksi pada sebelah petang.

"Ia berbeza dengan pemain-pemain kami. Kami bernasib baik kerana dapat bermain dengan baik dalam 45 minit pertama dan meledakkan dua gol.

"Separuh masa kedua begitu menyukarkan dan pemain-pemain begitu jelas hilang tenaga dan kerap meminta air dari luar padang," jelasnya lagi.

Sarawak akan bertemu Terengganu yang menewaskan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Mac ini manakala pusingan kedua di Stadium Negeri pada 21 April.

Kata David, pasukannya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi berkenaan, dengan mengukuhkan sentuhan penyudah yang sentiasa menjadi halangan.

"Kami lupakan sementara Liga Super. Ketika ini pemain-pemain berada dalam kecergasan terbaik dan saya berharap mereka dapat memberi fokus untuk kami melangkah lebih jauh lagi," katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment