Piala FA: Kedah, Pahang, JDT intai mara ke suku akhir

By Ammar Hakim 19 February 2017
Piala FA: Kedah, Pahang, JDT intai mara ke suku akhir

Kedah, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) diramal pemerhati bola sepak sebagai pilihan untuk meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala FA berdasarkan undian hari ini.

Aksi pertembungan dua pasukan utara, Perak dan Kedah, tampak menjadi aksi tumpuan dalam pusingan ketiga, dengan kedua-dua pasukan meraih kemenangan dalam aksi Liga Super semalam.

Namun, skuad Lang Merah bimbingan Tan Cheng Hoe yang masih belum tewas dalam Liga Super, diramal memiliki sedikit kelebihan berbanding Perak.

"Mengikut prestasi semasa, Kedah memiliki kualiti yang baik berbanding Perak. Mereka memiliki pemain-pemain yang berkualiti. Bagaimananapun, saya menjangkakan saingan yang sengit akan dipamerkan oleh kedua-dua pasukan ini," kata bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri.

Pahang yang bakal berdepan Melaka, juga dilihat sebagai pasukan pilihan walaupun barisan bimbingan Eric Williams dijangka memberikan tentangan sengit.

Prestasi tidak menentu JDT dalam saingan Liga Super pula, tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan mereka dalam Piala FA memandangkan mereka juga adalah juara bertahan.

"Sudah pasti, kekalahan kepada Perak akan mengganggu emosi serta psikologi pemain-pemain JDT. Namun, mereka memiliki pengalaman yang mampu membantu mereka untuk mempertahankan gelaran musim ini," ujar Hasnizam Uzir.

About Author

Ammar Hakim

Comment