Piala FA: Aksi bertemu Sarawak pentas Falcone balas kritikan

By Tengku Danish Bahri 1 April 2017
Piala FA: Aksi bertemu Sarawak pentas Falcone balas kritikan
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mencabar penyerang importnya, Federico Falcone, untuk menamatkan kemarau jaringan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA bertemu Sarawak, malam ini.

Dengan penggantungan penjaring terbanyak, Issey Farran Nakajima, tumpuan kian terarah kepada pemain dari Argentina itu yang sekadar menjaringkan dua gol musim ini.

“Sepanjang tempoh rehat ini, kami mengutamakan aspek penyudah dan kata dua juga telah diberikan kepada Falcone untuk menunjukkan sentuhan pemusnahnya.

“Sebagai penyerang utama, dia (Falcone) harus lebih agresif dan menyumbang lebih banyak jaringan,” ujar Irfan.

Kali terakhir bekas penyerang Valetta FC dalam Liga Malta itu menjaringkan gol adalah pada 24 Februari lalu sewaktu kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana.

Dalam pada itu, Irfan turut melaungkan keyakinan pasukannya berupaya menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk menang meskipun tanpa Issey dan pertahanan kanan, Mohd Firdaus Faudzi, yang turut digantung.

“Dengan semangat pemain yang tinggi ketika ini serta sokongan padu penyokong dan pihak pengurusan, saya yakin kami mampu memperoleh kemenangan.

“Kelebihan jaringan yang besar juga sangat penting sebelum aksi timbal balik di Kuching,” katanya.

Ketua jurulatih berpengalaman itu turut mengesahkan penjaga gol skuad B22 negara, Amirul Hakimi Awang, kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

About Author

Tengku Danish Bahri

Comment