Piala AFF Suzuki: Peringkat separuh akhir sasaran awal Kim Swee

By Shaiful Shamsudin 28 October 2016
Piala AFF Suzuki: Peringkat separuh akhir sasaran awal Kim Swee
Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, mengakui sasaran menjuarai Piala AFF Suzuki yang dibuat setahun lalu, ditambah pula dengan kontroversi semasa, memberi tamparan hebat buat skuad kebangsaan ketika ini. 

"Sukar," itu reaksi ringkas Kim Swee apabila diajukan persoalan adakah sasaran menjuarai Piala AFF masih relevan untuknya. 

Jelas sekali, persediaan skuad negara kali ini cukup sederhana dan dalam tempoh kurang sebulan sebelum saingan, kesebelasan pemain masih dalam congakan Kim Swee ketika ini. 

"Ini satu sasaran yang cukup mencabar biarpun sebelum ini pada awal tahun, saya mengatakan cabaran itu memadai. 

"Banyak perkara telah berlaku, namun saya masih mempunyai kepercayaan. 

"Walaupun sasaran itu cukup mencabar, biarlah kami fikirkan untuk layak ke peringkat separuh akhir terlebih dahulu, sebelum memikirkan untuk menjadi juara," katanya. 

Sasaran menjuarai Piala AFF Suzuki 2016 diputuskan dalam keadaan skuad negara masih memiliki beberapa tunjang utama yang memainkan peranan besar dalam pasukan. 

Namun, pengumuman persaraan oleh S. Kunanlan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Amirulhadi Zainal menjadikan persediaan kali ini cukup hambar. 

Ini ditambah pula dengan kekangan tempoh latihan serta halangan untuk mengumpul pemain dalam satu masa, sehingga membuatkan Kim Swee runsing memikirkan nasib Malaysia dalam Piala AFF nanti. 

"Jurang masa yang saya ada penting untuk saya melakukan banyak perkara. 

"Jadi program-program yang telah saya atur sehingga Piala AFF Suzuki nanti, amat penting untuk dituruti. 

"Saya harap tiada perkara-perkara tertentu yang akan mengganggu persiapan kami," katanya lagi. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment