Piala AFF Suzuki: Kim Swee gesa pemain muda menyinar

By Shaiful Shamsudin 15 October 2016
 Piala AFF Suzuki: Kim Swee gesa pemain muda menyinar
Pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, menganggap barisan pemain yang dimilikinya sekarang sedia menghadapi cabaran di sebalik prestasi tidak memberangsangkan di peringkat antarabangsa.

Susulan persaraan beberapa tonggak utama pada pertengahan tahun ini, Kim Swee terpaksa memikirkan pelan B bagi mengharungi tugasan penting pada Disember nanti, iaitu Piala AFF Suzuki. 

Senario itu memaksa beliau menyenaraikan beberapa muka baru seperti Fazrul Hazli Kadri, Khuzaimi Piee, Hadin Azman, Safawi Rasid, Darren Lok Yee Deng, Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali.

Kim Swee berpeluang untuk menilai mereka dalam dua perlawanan antarabangsa membabitkan aksi menentang Singapura dan Afghanistan pada awal bulan ini. 

"Saya perlu melihat beberapa aspek tentang pemain saya ketika menentang Singapura dan Afghanistan," jelas beliau. 

"Apa yang penting, pemain harus memahami taktikal dan konsep permainan kami. Inilah aspek yang perlu saya nilai."

Bagi Kim Swee, kehadiran pemain-pemain muda juga memberi manfaat kepada skuad itu kerana mereka mempunyai semangat juang yang tinggi. 

"Ini merupakan peluang kepada pemain-pemain lebih muda untuk merebut tempat dan seterusnya menyinar dalam Piala AFF Suzuki. 

"Pemain-pemain mahukan cabaran."

Pusingan akhir Piala AFF Suzuki akan berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember di Myanmar dan Filipina.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B di samping tuan rumah bersama, Myanmar, Vietnam dan sebuah pasukan yang akan ditentukan daripada pusingan kelayakan. 

Myanmar yang kini menggunakan khidmat jurulatih dari Jerman, Gerd Zeise, dikhabarkan akan menjalani latihan di Eropah manakala Vietnam turut menjalani persiapan rapi dengan menghantar pasukan mereka berlatih di Korea Selatan.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment