Piala AFF: Kim Swee tidak gentar keputusan positif aksi persahabatan pihak lawan

By Shaiful Shamsudin 10 November 2016
Piala AFF: Kim Swee tidak gentar keputusan positif aksi persahabatan pihak lawan
Jurulatih bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swe, tidak panik dengan keputusan perlawanan persahabatan membabitkan Vietnam dan Myanmar, sebaliknya menganggap ia motivasi buat pasukannya untuk menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki, bulan ini. 

Vietnam, yang dianggap pilihan dalam Kumpulan B, berjaya menundukkan Indonesia 3-2, lawan ketika skuad negara kecundang 3-0 dalam aksi persahabatan di Solo, bulan lalu

Sementara itu, Myanmar selaku tuan rumah kejohanan itu berjaya mengikat skuad Garuda tanpa jaringan. 

Situasi itu memberi bayangan betapa ranjau menanti anak buah Kim Swee untuk melepasi halangan peringkat kumpulan, namun pengendali kelahiran Melaka itu tampil dengan pandangan positif terhadap peluang pasukannya. 

"Kami harus menghormati lawan kami. Tapi dalam masa yang sama, keputusan-keputusan positif yang mereka (pencabar Kumpulan B Piala AFF) raih menambah motivasi untuk pemain negara mempamerkan aksi lebih baik ketika bertemu mereka.  

"Saya mempunyai kepercayaan bahawa pemain-pemain negara bertambah baik sejak kami tewas kepada Indonesia. 

"Saya harap kami akan bertambah baik apabila bertemu Vietnam, Myanmar ataupun Kemboja nanti," tegas Kim Swee. 

Skuad negara terlebih dahulu akan diuji Papua New Guinea yang juga merupakan medan terakhir buat Kim Swee untuk memilih skuad 23 pemain tatkala pemain tengah, Nasir Basharuddin, hampir pasti digugurkan ekoran kecederaan. 

Sementara itu, Kim Swee mengakui perancangannya tetap berjalan lancar meskipun hasratnya untuk menguji ketahanan mental dan fizikal pemainnya berlatih dalam cuaca panas belum kesampaian. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment