Piala AFC: Felda, JDT sekadar raih satu mata

By Ammar Hakim 7 March 2017
 Piala AFC: Felda, JDT sekadar raih satu mata

FELDA UNITED 1 HANOI FC 1
MAGWE FC 1 JDT 1

Felda United terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Hanoi FC selepas seri 1-1 dalam aksi kedua saingan Piala AFC, petang ini.

Selepas tewas dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G kepada Tampines Rovers, Felda United turun dalam aksi kedua dengan misi mencari tiga mata penuh.

Skuad bimbingan B. Sathianathan itu membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi percubaan Zah Rahan Krangar yang menewaskan penjaga gol Hanoi FC, Phi Minh Long.

Hujan lebat di Stadium Shah Alam ternyata merencatkan permainan apabila kedua-dua pasukan gagal menghasilkan peluang untuk menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Hanoi melancarkan asakan bertali arus bagi mencari gol penyamaan sejurus permainan bersambung dalam babak kedua. Pada minit ke-52, Dong Hung Dung melepaskan rembatan, namun sekadar terkena tiang gol Felda.

Pertahanan ampuh Felda akhirnya ditembusi pada masa kecederaan, Hung Dung muncul penyelamat pasukan pelawat selepas percubaannya menewaskan penjaga gol, Farizal Harun.
Sementara itu, Magwe FC meleburkan harapan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih mata penuh di penghujung perlawanan untuk berkongsi mata selepas perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Pengendali JDT, Benjamin Mora, merombak kesebelasan utama bagi merehatkan beberapa tonggak utama pasukan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Thuwunna menyaksikan JDT kehilangan seorang pemain seawal minit ke-12, terjahan pertahanan Hasbullah Abu Bakar terkena kepala pemain Magwe, Kyaw Zin Lwin, memaksa pengadil perlawanan, Hussein Abo Yehia, untuk melayangkan kad merah.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, bekas juara Piala AFC itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk meledak gol pembukaan, R. Gopinathan menyudahkan hantaran silang S. Chanturu untuk meletakkan JDT di hadapan.

Magwe FC memanfaatkan separuh masa kedua untuk melancarkan serangan ke kubu pertahanan The Southern Tigers.

Ternyata kelebihan memihak kepada Magwe FC yang beraksi dengan 11 pemain apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 hasil jaringan Sylla Sekou.

About Author

Ammar Hakim

Comment