Perlu 'bersihkan' FAM terlebih dahulu -- Tunku Ismail

By Ammar Hakim 25 March 2017
Perlu 'bersihkan' FAM terlebih dahulu -- Tunku Ismail

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memberikan gambaran melakukan 'pembersihan dalaman FAM' sebelum beberapa langkah drastik lain diambil dalam masa terdekat.

Kenyataan Tunku Ismail itu sinis, namun cukup untuk menggambarkan badan induk itu bakal melewati perubahan ketara dengan keutamaannya untuk membuang mahupun mengecilkan kepincangan FAM sebelum ini.

Tunku Ismail tidak teragak-agak untuk membawa perubahan drastik jangka masa pendek sebelum perancangan lebih teliti dibawa ke dalam FAM.

Tunku Ismail turut menyeru setiap ahli exco agar jangan sekadar menyandang jawatan semata-mata, bahkan mengingatkan betapa mereka kini memiliki misi besar untuk diketengahkan.

"Saya akan memantau prestasi ahli-ahli yang menjalankan tugas, saya perlu membersihkan persatuan ini terlebih dahulu, selepas itu kami akan mengetengahkan perkara-perkara yang selanjutnya," katanya.

Dalam ucapan pertama sebaik diumumkan selaku presiden baru FAM, jelas fokus utama Tunku Ismail adalah memperkasakan nilai integriti, dedikasi dan profesionalisme melibatkan ahli exco dan juga badan gabungan.

"Setiap individu yang telah dipilih perlu mengikut momentum saya dan menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin."

About Author

Ammar Hakim

Comment