Perasaan Durakovic berbelah-bahagi

By Ammar Hakim 5 March 2017
Perasaan Durakovic berbelah-bahagi

Mehmet Durakovic mempunyai perasaan berbelah-bahagi selepas menyaksikan Perak menewaskan bekas anak buahnya, Selangor, 1-0 malam tadi.

Ini merupakan kali pertama Durakovic berdepan bekas pasukannya, Selangor, selepas meninggalkan skuad gergasi merah itu selepas musim 2015 dan kali ini pasukan baharunya, Perak, meraih kemenangan tipis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

"Ia merupakan kemenangan yang penting buat Perak, perasaan saya bercampur-baur kerana saya sebelum ini sudah begitu lama bersama Selangor dan mereka akan sentiasa berada di dalam ingatan saya," katanya.

Ia adalah kemenangan pertama Durakovic dalam tiga perlawanan bersama Perak selepas menggantikan Karl Heinz-Weigang.

Zaquan Adha Abdul Radzak meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-66  selepas bola terkena tangan pertahanan Selangor, Ugo Ukah, yang turut diperintah keluar padang untuk layangan kad kuning kedua.

"Saya berpendapat Selangor gagal bermain dengan baik dalam separuh masa pertama. Pemain-pemain berjaya memperkemaskan permainan, namun insiden kad merah telah menyekat permainan kami," jelas jurulatih Selangor, P. Maniam.

Kemenangan ini membolehkan Perak melonjak ke tangga keempat liga.

About Author

Ammar Hakim

Comment