Perak bakal pamer aksi lebih mantap berdepan Pahang -- Jamal

By Ammar Hakim 21 January 2017
Perak bakal pamer aksi lebih mantap berdepan Pahang -- Jamal

Perak tetap turun dengan penuh keyakinan bertemu Pahang walaupun prestasi pasukan itu dilihat sedikit goyah dalam aksi persahabatan pra-musim.

Pengurus Perak, Datuk Jamal Mat Aris, tidak gusar dengan beberapa keputusan kurang baik dicatatkan Perak sebelum ini.

Tewas 2-1 kepada pasukan Liga FAM, Felcra FC,  dan sekadar menang tipis 3-2 berdepan UKM FC dalam aksi terakhir merupakan sesuatu yang membimbangkan buat Perak.

Menurut Jamal, pengendali The Bos Gaurus, Karl Heinz Weigang, telah memberikan latihan kepada pemain dalam tempoh seminggu ini dan dilihat mampu memperbaiki kelemahan pasukan.

“Keputusan pra-musim tidak terlalu penting, perkara yang penting melakar kemenangan ke atas Pahang dalam aksi pembukaan Liga Super,” katanya.

Sementara itu, Nasir Basharudin yang merupakan antara pemain paling lama dalam pasukan, berharap rakan-rakannya mampu berwaspada dengan ancaman Pahang.

Sebagai pasukan berwajah baru, Nasir menyedari persembahan Pahang pasti sukar diramal dalam aksi sulung Liga Super.

“Pahang telah merombak pasukan hampir 75 peratus manakala kami juga telah mendapatkan pemain-pemain baru musim ini.

"Saya menyedari kami akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri di atas padang nanti, namun berharap untuk menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment