Pengalaman bekalan PKNS cari kemenangan di Stadium Hang Jebat

By Ammar Hakim 14 February 2017
Pengalaman bekalan PKNS cari kemenangan di Stadium Hang Jebat
Pengalaman dalam saingan Piala FA musim lalu menjadi aset buat PKNS untuk menghadapi Melaka United, malam ini.

PKNS, yang merupakan finalis 2016, pernah berdepan situasi getir apabila diundi berdepan pasukan lebih kuat seperti Terengganu dan Felda dalam dua pusingan awal.

Jurulatihnya, E. Elavarasan, sama sekali tidak gusar bertemu Melaka di laman lawan seawal pusingan kedua kerana optimis mereka ada kelebihan tersendiri.

Tambahnya, dia juga akan menurunkan barisan terbaik bagi memburu kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan.

"Saya menjangkakan saingan sengit ketika berdepan Melaka, mereka akan cuba untuk bangkit apabila tewas dalam dua perlawanan," katanya.

Namun, terdapat satu aspek merisaukan Elavarasan, iaitu beraksi pada sebelah malam selepas tiga kali bermain waktu petang.

Justeru, dia berharap pemainnya cepat menyesuaikan diri sebaik sepak mula dengan Melaka di Stadium Hang Jebat.

"Menyesuaikan diri untuk beraksi pada sebelah malam juga akan menyukarkan kami tetapi saya berharap pemain-pemain saya dapat mempamerkan permainan yang konsisten."

Perlawanan lain pusingan kedua Piala FA melibatkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Felda United, juara lima kali, Selangor, bertemu Negeri Sembilan sementara Perlis menentang PDRM.

Sementara itu, keputusan pusingan kedua pada Isnin menyaksikan Kuantan FA dan Terengganu berjaya meneruskan kemaraan selepas menundukkan lawan masing-masing.

About Author

Ammar Hakim

Comment