Pengadil perlawanan buat Elavarasan keliru

By Ammar Hakim 5 March 2017
Pengadil perlawanan buat Elavarasan keliru

E. Elavarasan mengakui sukar untuk memahami apa yang dimaksudkan "deliberate save" yang menjadi alasan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria, untuk membatalkan jaringan kedua PKNS ketika seri dengan Pulau Pinang semalam.

Tegas pengendali PKNS itu, beliau keliru dengan alasan yang diberikan pengadil selain menegaskan ia merupakan kali pertama mendengar mengenai kesalahan itu dalam kariernya.

Zulkarnain membatalkan jaringan Patrick Ronaldinho hasil bola lantunan daripada rembatan Safee Sali yang asalnya ditampan penjaga gol Pulau Pinang, Syed Adney Syed Hussein, namun tidak dikira kerana pemain tersebut berada di kedudukan ofsaid.

Keputusan itu membuat Elavarasan kurang berpuas hati dengan jaringan yang tidak dikira pada babak kedua itu, apatah lagi PKNS benar-benar memerlukan kemenangan ketika menentang Pulau Pinang di Stadium Shah Alam.

"Saya bertanyakan kepada pengadil perlawanan, dia memberikan jawapan kepada saya ia merupakan 'deliberate save', ia satu perkara yang baru pada saya tetapi kami akan melihat semula ulang tayang insiden tersebut kerana enggan menuding jari kepada mana-mana pihak," jelas Elavarasan.

Dalam pada itu, pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood, mampu menarik nafas lega kerana terpaksa menunggu enam perlawanan hanya untuk mengutip satu mata, dan berharap ia akan mengubah nasib pasukannya dalam aksi akan datang.

"Kami agak kecewa dengan keputusan ini kerana prestasi pemain menyaksikan kami mampu menghasilkan kemenangan," ujar Westwood.

"Ya, seri bukan keputusan yang kami ingini, kami menyedari mampu mempamerkan permainan yang lebih baik, kami akan mengambil perlawanan ini sebagai langkah untuk maju ke hadapan," kata pertahanan Pulau Pinang, K. Reuben.

About Author

Ammar Hakim

Comment