Pemain Malaysia ke Liga Thailand musim hadapan?

By Ammar Hakim 2 October 2016
Pemain Malaysia ke Liga Thailand musim hadapan?

Pemain negara perlu mengambil kesempatan beraksi di Liga Thailand selepas Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan pengenalan slot pemain import dari negara Asean bagi setiap pasukan, bermula musim 2017.

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bersama Liga Perdana Thai (PLT) serta agensi yang menguruskan Liga Thailand mengumumkan pada 15 September lalu pengenalan peraturan itu akan bermula tahun depan sebelum diwajibkan pada 2018.

Setiap kelab dibenarkan mengambil lima pemain import termasuk satu dari negara Asia dan satu negara Asean.

Azzuddin ternyata menyambut baik apa yang dilakukan FAT sambil berharap semua pemain dari negara Asean termasuk Malaysia membuka langkah mengembangkan karier di sana.

“Walaupun negara Asean, liga bola sepak di Thailand sangat bermutu dan mantap, selepas Thailand mengambil langkah untuk memperkenalkan pemain import ke dalam liga mereka, ia merupakan peluang buat pemain Malaysia memperkembangkan kualiti mereka,” jelas Azzuddin.

Mengenai Piala AFF, Azzuddin tidak menolak kemungkinan penyertaan Australia di dalam pertandingan itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun, semuanya bergantung sejauh mana kualiti bola sepak dalam kalangan negara Asean mampu dipertingkatkan dalam masa terdekat untuk memberikan saingan kepada Australia.

Sementara itu, penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat serta pemain sayap Selangor, Ahmad Hazwan Bakri turut bersetuju mengenai peluang pemain Malaysia beraksi di Liga Thailand.

“Ia merupakan peluang yang terbuka buat pemain Malaysia beraksi di Liga Thailand, kerana terdapat kelab mereka yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia,” kata Khairul.

“Jika bermain di Liga Thailand, ia merupakan pengalaman yang baru buat pemain Malaysia,” jelas Hazwan.

About Author

Ammar Hakim

Comment