Peluang negara untuk ke separuh akhir cerah -- Rizal Hashim

By Staff Writer 16 November 2016
Peluang negara untuk ke separuh akhir cerah -- Rizal Hashim
Pemerhati bola sepak negara, Rizal Hashim, berpandangan senarai 23 pemain yang dibawa Datuk Ong Kim Swee mampu menjelmakan kejutan dalam saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016.

Dia melihat penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Darren Lok, mampu menjadi senjata rahsia barisan negara kerana kekuatannya kurang diketahui pasukan pencabar.

"Berdasarkan persembahan ketika menentang Papua New Guinea, Darren merupakan seorang penyerang yang berani membawa bola dan ia mengimbas kembali kehebatan Safee Sali ketika muda.

"Dengan gandingan Darren, Ahmad Hazwan Bakri dan Norshahrul Idlan Talaha serta Safee, sebagai dua penyerang yang berpengalaman pastinya akan membantu penyerang yang lebih muda.

"Peluang pasukan negara untuk ke separuh akhir sekurang-kurangnya adalah cerah," jelas Rizal.

Mengenai pemilihan hitam sebagai warna utama jersi negara, Rizal melihat ia sesuatu yang menarik kerana tidak lagi mengikut tradisi belang kuning dan hitam.

Dalam pada itu, dia juga berharap ia mampu menjelmakan tuah kepada Harimau Malaysia dan berharap pembaharuan itu diterima oleh peminat bola sepak negara.

"Walaupun ada komen-komen yang sinis seolah-olah hitam itu mencerminkan kekelaman atau kesuraman bola sepak negara, ia satu rekabentuk yang menarik dan berbeza daripada tradisi.

"Jika sebelum ini skuad negara dikenali dengan belang kuning hitam, atau kuning sahaja, warna hitam itu mungkin membawa satu dimensi yang berbeza daripada segi penampilan.

"Saya mengharapkan penampilan baru itu boleh membawa kepada persembahan yang lebih memberangsangkan di atas padang."

About Author

Staff Writer

Comment