Patah tulang jari, Irfan bakal diketepikan

By Staff Writer 11 November 2016
Patah tulang jari, Irfan bakal diketepikan
Pemain tengah Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria, mungkin terpaksa melupakan hasrat ke Myanmar bagi aksi persahabatan skuad B-22 kebangsaan selepas mengalami kecederaan sewaktu sesi latihan.

Irfan patah tulang jari tangan kiri sewaktu sesi latihan pada Rabu dan terpaksa berehat daripada meneruskan latihan pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun itu enggan terlalu kecewa jika tidak ke Myanmar kerana apa yang penting adalah dia perlu pulih sepenuhnya sebelum kembali berusaha untuk kekal dalam skuad Sukan SEA 2017.

"Kalau tidak dapat beraksi di Myanmar, saya tidak akan kecewa kerana itu hanya perlawanan persahabatan.

"Tetapi kalau ia perlawanan penting, saya mungkin akan kecewa," katanya.

Sementara itu, penyerang, Jafri Firdaus Chew, bertekad mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan Disember depan untuknya terus menambat hati ketua jurulatih, Frank Bernhardt.

Dia sedar persaingan sengit dengan pemain lain untuk merebut tempat dalam skuad, tidak boleh diambil mudah.

"Buat masa ini, sukar untuk saya jelaskan tahap keyakinan saya kerana saya kurang mendapat peluang untuk beraksi.

"Untuk bersaing agak susah kerana terdapat ramai pilihan lain, bagaimanapun saya akan cuba buat yang terbaik," jelasnya.

About Author

Staff Writer

Comment