Norhuda harap peningkatan bola sepak wanita akan berterusan

By Ammar Hakim 27 March 2017
Norhuda harap peningkatan bola sepak wanita akan berterusan

Dua bekas penyandang exco wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Norhuda Ahmad dan Normala Yusoff, yang tewas dalam pemilihan Sabtu lalu, berharap peningkatan dipamerkan bola sepak dan futsal wanita mampu diteruskan oleh pengganti mereka.

Sejak diberikan peruntukan jawatan dua exco wanita yang bermula penggal lalu, pembangunan bola sepak wanita dilihat berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Norhuda dan Normala dilihat berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, terutama mewujudkan kembali saingan Piala Tun Sharifah Rodziah pada 2015 selepas 11 tahun berkubur.

Justeru, Norhuda berharap dua muka baharu, Datuk Suraya Yaacob dan Shafizah Umamah Abdul Mutalib, mampu meneruskan legasi mereka.

"Kami telah menganjurkan Liga Bola Sepak Rakyat Wanita dan mengembalikan saingan Piala Tun Sharifah Rodziah, saya berharap bola sepak wanita di Malaysia akan terus berkembang," kata Norhuda.

Dalam masa sama, Norhuda melaungkan keyakinan FAM di bawah kepimpinan presiden baru, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mampu membawa bola sepak negara ke arah dimensi baharu.

"Saya menyifatkan exco wanita yang dipilih mampu menjalankan tugas dengan baik kerana mereka merupakan individu yang berwawasan dan berwibawa."

About Author

Ammar Hakim

Comment