Nik Ahmad tawar pengalaman, kemahiran luas rebut jawatan dalam FAM

By Shaiful Shamsudin 23 March 2017
Nik Ahmad tawar pengalaman, kemahiran luas rebut jawatan dalam FAM
Calon Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Nik Ahmad Yaakub, menjelaskan dia bukan sahaja mampu membantu dalam aspek pengadilan, tetapi turut mempunyai pengalaman dalam pembangunan bola sepak belia dan futsal. 

Tiada siapa pernah mengetahui Nik Ahmad pernah berkecimpung selaku pemain serta jurulatih bersama skuad bawah 19 tahun negara pada lewat 80-an sebelum memilih karier selaku pengadil. 

Dia yang disenarai sebagai salah seorang pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari tahun 1992 hingga 2000, juga pernah terlibat sebagai pengadil futsal. 

Justeru, berdasarkan pengalaman luasnya, Nik Ahmad tidak mahu ramai melihat dia sekadar mampu menyumbang sebagai bekas pengadil sekiranya terpilih selaku Exco FAM yang baru. 

"Berdasarkan pengalaman dan kemahiran saya, malah dalam pengurusan jawatan terakhir saya, adalah di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya. 

"Saya sempat bertanggungjawab dari segi pembangunan sekolah sukan negara dan sekolah-sekolah sukan negeri, bahkan sempat bekerjasama dalam projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) yang sedang berjalan sekarang," katanya. 

Dalam pada itu, Nik Ahmad tetap optimis dia berpeluang untuk memenangi salah satu daripada lapan slot exco yang ditawarkan biarpun bukan terdiri daripada mana-mana ahli jawatankuasa persatuan bola sepak negeri. 

"Seboleh-bolehnya setiap orang yang menawarkan diri sebagai ahli, sama ada di peringkat exco ataupun di peringkat yang lebih tinggi, saya berasakan masing-masing mempunyai kemampuan untuk menyumbang. 

"Inilah sepatutnya menjadi faktor untuk menentukan kepimpinan."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment