Nasir Basharuddin hampir pasti digugurkan

By Staff Writer 7 November 2016
Nasir Basharuddin hampir pasti digugurkan

Pemain tengah, Nasir Basharuddin, berada dalam senarai kemungkinan digugurkan daripada skuad negara apabila kembali dihantui kecederaan pangkal paha.

Nasir mengalami kecederaan berkenaan ketika bersama Perak tetapi sudah hampir pulih sebelum bersama skuad kebangsaan.

Namun, nasib jelas tidak memihak Nasir apabila kembali mengalami kecederaan sama, sekaligus merencatkan peluangnya bersama rakan sepasukan ke Yangon, Myanmar.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, kini hanya menunggu laporan perubatan dan jika Nasir perlu berehat lebih seminggu, dia tiada pilihan selain melepaskan pemain itu.

"Nampak seperti dia masih perlukan satu atau dua minggu untuk pulih sepenuhnya. Kami akan menghantar pemain itu untuk menjalani pemeriksaan.

"Jika laporan doktor mengatakan dia perlukan lebih masa untuk pulih, jadi saya mungkin tidak akan menyenaraikan dia," katanya.

Sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memperlihatkan buat pertama kalinya skuad negara berlatih pada jam 3.00 petang.

Kim Swee mempertaruh keyakinan pemainnya secara perlahan-lahan mampu menyesuaikan diri beraksi di bawah cuaca panas terik dalam dua aksi awal di Myanmar.

"Ini latihan hari pertama dan cuaca agak baik di mana tidak begitu panas. Saya percaya pemain akan bertambah serasi dengan keadaan cuaca," tambahnya.

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Baddrol Bakthiar, berkata pengalamannya beraksi pada sebelah petang dalam Liga Perdana  sebelum ini mampu membantu dirinya dalam menyaingi cuaca di Myanmar.

"Sebelum ini, saya pernah beraksi pada sebelah petang ketika dalam saingan Liga Perdana. Jadi, pada saya, ia akan memberikan kelebihan."

About Author

Staff Writer

Comment