Melaka United hadkan perbelanjaan RM20 juta

By Ammar Hakim 17 January 2017
Melaka United hadkan perbelanjaan RM20 juta

Presiden Melaka United Football Club (MUFC), Datuk Seri Utama Idris Haron, menyatakan skuad Hang Tuah menetapkan had perbelanjaan maksimum RM20 juta bagi mengurus pasukan dengan lebih baik musim ini.

"Perbelanjaan maksimum yang kami tetapkan adalah sebanyak RM20 juta dan walaupun jumlah yang diperlukan pengurusan lebih tinggi, perbelanjaan untuk gaji dan pentadbiran adalah mencukupi,” kata beliau yang juga Ketua Menteri Melaka. 

Setakat ini, Melaka United berjaya mengumpul sebanyak RM15 juta hasil sumbangan beberapa penaja kepada skuad Hijau Putih yang beraksi di pentas Liga Super.

"Kami hanya memerlukan RM5 juta lagi. Ia peningkatan lebih 50 peratus berbanding perbelanjaan dalam Liga Perdana yang mencecah RM12 juta musim lalu.

"Perbelanjaan mengurus bagi dua liga berkenaan adalah berbeza,” katanya ketika ditemui di Majlis Makan Malam Bersama Penaja Melaka United di Hatten Hotel, Melaka.

Antara penaja Melaka United musim ini ialah EDRA Energy, Mamee, Tag Marine, Hatten, Natizi Construction Sdn Bhd, Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd, CMI, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),  Kumpulan Melaka Berhad, Taming Sari dan Melaka ICT Holdings  (MITCH).

Idris turut memberitahu jumlah perbelanjaan RM20 juta itu adalah sangat relevan dalam misi membina  empayar Melaka United  yang mampu bersaing dengan pasukan hebat dalam Liga Malaysia.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment